Melewati kembali memori pemikiran lalu, atas setiap apa yang berlaku pasti akan menyedarkan kita tentang banyak perkara. Ada yang gembira, ada yang derita, ada yang kecewa dan ada juga yang menitiskan air mata. Perkara yang sudah lepas itu tidak akan boleh diubah, kerana ia sudah menjadi sejarah. Mungkin sesuatu yang boleh dimegah, atau sesuatu yang mempunyai bisa berdarah. Kelakuan kita pada masa lampau mengubah banyak persepsi dikalangan mata yang memerhati.
Bukan mudah untuk kita perjelas tingkah laku kita.Keputusan yang dibuat mungkin tidak akan menyenangkan semua pihak.Risikonya tinggi bila kekeliruan merantai diri. Emosi mati dan tidak akan peduli.Rasional akan hilang, jiwa tunggang langgang.
Aku juga mengaku aku bukan manusia sebaik mana.Aku juga punya bahagian jahat dan tidak sempurna. Tidak sempurna yang agak ketara sekali sekala. Banyak kesilapan yang telah aku buat. Aku tidak tahu bagaimana aku mahu memperbetulkan keadaan. Tapi aku tahu bagaimana untuk aku terus cuba untuk terus meneruskan kehidupan.
Setiap yang berlaku itu ketentuan Tuhan. Untuk aku, 3 bulan yang lalu banyak mengubah aku dari pelbagai segi. Minda aku makin matang bila berhadapan dengan keadaan yang boleh dikatakan malang.Tuhan menunjukkan jalan, dan aku perlu berusaha untuk maju kedepan. Boleh jadi setiap sejarah lalu, tindakan dan tertuturan yang "mengganggu" golongan tertentu akan membuatkan kita menjadi bahan bualan,kita boleh dikeji dan dibenci oleh manusia lain. Itu adalah lumrah dunia dimana manusia akan mempunyai persepektif sebegitu.
Menyesal tentang perkara lalu mungkin boleh.Tapi mengubahnya tidak akan pernah boleh berlaku.Apa yang perlu, pandang ke hadapan. Bersihkan diri daripada hasad dan pelbagai kekotoran. Golongan yang membenci mungkin tidak dapat memaafkan atas kesilapan.Biarkan sahaja.Berdiam,fikir dan teruskan usaha memperbaiki keadaan.Menjadi lumrah hidup, kita mungkin boleh jadi begitu.
Cuma sekarang ia telah berubah. Manusia perlukan kemajuan dari segi rohani dan jasmani.Kematangan fikiran dalam menyelesaikan permasalahan. Untuk hidup gembira kita perlukan minda yang menjana kegembiraan. Ada hari kita boleh jadi bahan keji dan bualan orang ramai, ada hari lain kita mungkin disanjung tinggi. Tuhan yang menentukan keadaan, manusia pula perlu berusaha untuk memaksimakan kesempurnaan.Segala cakap-cakap yang meruntuhkan semangat dan mematikan emosi itu adalah ujian. Lepasi ujian dan kita memperlengkapkan diri dengan sikap terpuji.
Kita adalah apa yang kita fikirkan.Jangan ego,jangan bongkak. Apa yang perlu itu satu tindakan minda rasional untuk berfikir.Ia akan mengubah diri kita dari segi rohani dan jasmani.Kita perlu sedar mana yang baik dan tidak.Kita akan senyum bila kita tahu apa yang kita mahukan itu sudah berada dalam genggaman.
nota kaki : mohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan kesalahan lalu. Sekarang hanya mahu jadi yang lebih baik.Lebih baik daripada keadaan yang sebelumnya. Semoga Tuhan akan merahmati kita semua.