approved & supported by :

Thursday, February 11, 2010

Attention Economy dan peranan media masa kini

Dalam era global masa kini segala maklumat,berita dan informasi boleh didapati dimana sahaja. Kewujudan sistem canggih dalam alat-alat teknologi mengubah perkembangan maklumat dan penyampaian informasi pada hari ini. Empayar internet yang sememangnya menjadi satu keperluan masa kini adalah contoh betapa pesatnya pengembangan informasi berlaku. Dalam masa beberapa minit sahaja, informasi dan maklumat yang ada diinternet boleh diketahui satu dunia.


Pada pendapat saya, pengembangan pesat dan meluas dengan adanya "dunia tanpa sempadan" internet ini telah memberikan alternatif kepada kebanyakkan orang untuk mendapatkan informasi dan maklumat yang mereka cari. Keadaan ini juga telah mula dirasai sejak awal abad ke 21 lagi. Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, (Pengarah Zentrum Future Studies) pernah menyatakan bahawa dalam abad ke 21 ini manusia akan lebih tertumpu ke arah " Attention Economy" dimana perhatian manusia itu adalah kunci segala aktiviti di dunia ini. Attention Economy boleh di definisikan sebagai satu bentuk ekonomi yang berkembang disebabkan oleh pencarian atau perhatian yang diberikan dan dimahukan manusia. Hal ini jelas sekali terjadi dengan penggunaan internet yang meluas. Enjin carian digunakan untuk mencari informasi tertentu dan maklumat tertentu.Dan jika maklumat itu tidak mendapat perhatian si pencari tadi, maka dia akan beralih kepada informasi lain yang ada di internet.Jadi itulah sedikit sebanyak tentang Attention Economy.


Peranan media-media cetak yang berada diarus perdana sekarang ini sememangnya semakin kurang "sengat" jika hendak dibandingkan dengan 10 tahun lepas. Media cetak masa kini boleh diguna pakai untuk memberitahu berita, dan untuk kepastian dan informasi lanjut pembaca media cetak akan gunakan internet. Empayar internet ini memang sukar untuk dibendung kerana perubahan globalisasi sememangnya menjadi penyebab utama kepada wujudnya media elektronik yang nampaknya lebih berkali ganda memberikan kesan dan impak berbanding media cetak.

Oleh yang demikian, pemikiran orang ramai kini adalah tertumpu kepada bahan material yang dirujuknya. Tiada lagi sekatan seperti zaman terdahulu, kerana kebanjiran dan limpahan informasi itu terlalu banyak untuk dikawal. Zaman media cetak untuk menjadi "raja" dalam aspek penyebaran maklumat sudah berakhir. Kini mereka-mereka yang berkepentingan tidak lagi punya jalan untuk memonopoli penyebaran maklumat.Baik syarikat, pertubuhan dan persatuan.

Mungkin revolusi ini baru sahaja mula dirasai sekarang. Sukar untuk kita tahu, apa yang benar dan apa yang tidak.Mana yang baik dan mana yang tidak.Tapi kita ada pilihan sekarang. Media elektronik sentiasa boleh diakses 24 jam. Yang pasti, pemikiran kita perlu terbuka dan menilai sendiri dengan rasional dan bijak.Bukan dengan emosi melulu seperti zaman-zaman terdahulu.

Sekian.

farhannazmey


Wednesday, February 10, 2010

Perspektif ekonomi dimata anak muda

Setelah lebih kurang 100 posting yang bercampur-campur isi kandungannya. Mulai saat ini saya mahu menjadikan ruangan blog saya di Blogger ini sebagai kolum berkongsi rasa dan pendapat tentang isu-isu mutakhir dan semasa. Saya sedar bahawa, usia saya dan pemikiran saya mungkin akan dipersoalkan untuk membicarakan perkara-perkara sebegini. Tapi saya juga seorang anak muda yang mempunyai pendapat dan pemikiran dalam sesuatu isu yang berlaku.


Untuk ruangan kolum pertama ini, saya ingin berkongsi rasa dan pendapat tentang Malaysia masa kini. Sejak kebelakangan ini, bila saya membaca berita di akhbar, di internet saya merasakan negara ini sudah terlalu dikaburi dengan anasir-anasir hasad dan kotor yang mungkin menjadi dadah dalam pemikiran rakyatnya. Buka sahaja surat khabar, terlalu banyak cerita "jahat" mereka-mereka yang mahu jadi berkuasa. Saya sememangnya sudah jelek untuk membicarakan tentang perkara ini. Jadi itu terpulanglah kepada masing-masing yang menentukan.


Saya merasakan pemikiran rakyat Malaysia terutamanya golongan belia, ketika ini sudah dicemari dengan matlamat dan fokus yang tersasar jauh dengan isu globalisasi. Mana tidaknya, kalau setiap hari asyik perkara yang penuh dengan hasad dan perpecahan yang dipaparkan? Di media massa atau media cetak.Semua sama sahaja. Yang sepatutnya berlaku sekarang adalah penerapan daya saing yang bakal dihadapi di masa depan. Ada teman-teman saya yang melanjutkan pengajian di Eropah pernah memperkatakan, jika berlakunya pilihan raya di Eropah, isu hangat dan manifesto parti yang bertanding adalah tentang ekonomi, hak asasi dan perancangan mereka untuk menghadapi globalisasi dunia. Dan apa yang berlaku di Malaysia, sangatlah menyedihkan. Pemikiran ditakuk lama, dan apa yang diperjuangkan masih lagi perjuangan yang boleh dikira sebagai ketingglan zaman. Jika dahulu, peperangan fizikal dan penaklukan kuasa yang menjadi kayu pengukur kekuatan satu negara dan bangsa.Tapi kini, kekuatan ekonomi itu adalah kayu pengukur kehebatan sesebuah negara. Lihat sahaja Amerika,Eropah dan Jepun. Mereka adalah kuasa besar ekonomi dunia.


Sebagai seorang penuntut jurusan kewangan dan juga perakaunan,saya juga ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang ekonomi. Jika kita imbas kembali, Bajet 2010 yang telah dibentangkan di Parlimen, menunjukkan bajet defisit terbesar dalam sejarah negara sejak beberapa tahun sebelumnya. Hal ini memberikan indikasi, bahawa struktur kewangan negara adalah sangat goyah. Perbelanjaan kerajaan terpaksa dikurangkan. Ada khabar-khabar yang mengatakan peruntukkan belanja untuk program-program pembangunan seperti kursus dan latihan terpaksa dihentikan sekarang ini. Jadi apa tindakan rakyat kita sekarang? adakah golongan muda belia pernah membicarakan tentang ini? Ataupun pernahkah kita gusarkan keadaan ini? Kita tidak bersedia dari segi mental dan pengetahuan.Inilah masalah terbesar yang dihadapi Malaysia ketika ini.


Isu sikap rakyat Malaysia adalah punca terbesar masalah. Setiap hari ada saja masalah yang berkaitan dengan perkara-perkara negatif. Dan pihak media mengambil kesempatan untuk memfokuskan rencana-rencana panas ini. Manakala, perkara-perkara yang lebih utama seperti ekonomi dan sosial,globalisasi den perkembangan telah hilang dari media.Bila rakyat tidak membaca dan mempunyai pengetahuan.Kita akan semakin mundur untuk berdaya saing.


Saya menjangkakan beberapa pembaharuan dalam sistem pencukaian yang diperkenalkan ini pasti akan memeranjatkan bebanyakkan orang. Pengenalan GST ( Good & service tax) yang mungkin akan diperkenalkan dalam pertengahan tahun ini, pasti akan memberikan impak yang besar dalam corak perbelanjaan rakyat dinegara ini. Semalam saya ada membaca tentang Perdana Menteri ada mengatakan tentang, subsidi seharusnya dikurangkan untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing. Selalunya, jika ada kenyataan sebegini pasti akan ada kenaikan harga pada barangan,terutamanya petrol dan diesel.Saya tidak tahu adakah ia akan berlaku atau tidak.Saya hanya menjangkakan saja.


Mengakhiri kolum pertama saya ini,saya berharap kalian yang membaca dapat berkongsi pendapat dan cetusan pemikiran bersama yang lain.Saya juga bukanlah seorang yang arif dalam hal-hal ekonomi ini,cuma ada sedikit pengetahuan. Apa yang saya mahu adalah berkongsi dengan anak-anak muda dan golongan belia.Buka mata dan lihat. Fokus pemikiran itu biar jelas.Perjuangan ekonomi itu adalah satu perkara yang perlu buat masa ini. Perbalahan dan segala anasir kedengkian perlulah diusir keluar.Sekian.


kolumnis kata,

Farhan Nazmee

Monday, February 8, 2010

kamera,kembara & pena


salam semua :) saya ingin mempromosikan projek terbaru Askarya Graphic & Concepts yang berkolaborasi dengan Militia Kata iaitu Kamera,Kembara & Pena. Ini adalah photo-journal blog yang pasti akan memberi kelainan kepada kalian-kalian yang membacanya. Jika ada kelapangan, jemputlah menyinggah diblog ini. Sekian terima kasih.