approved & supported by :

Thursday, August 14, 2008

UiTM : antara emosi dan keadaan

Dalam seminggu ini heboh berbagai-bagai perkara yang mencetuskan pelbagai reaksi pihak-pihak tertentu. Keistimewaan Hak orang Melayu dipersoalkan, calon pilihanraya kecil dan sebagainya. Jadi terlintas dihati saya untuk berkongsi pendapat dan pandangan peribadi saya sendiri. Sebagai seorang belia dan juga seorang mahasiswa saya berkongsi pendapat ini.

Setelah kenyataan dibuat tentang kuota 10% patut dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM,siswa dan siswi UiTM telah menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dan protes terhadap kenyataan tersebut.Kenyataan yang telah dibuat oleh Tan Sri Khalid Ibrahim itu membuatkan warga UiTM tersinggung,marah dan kecewa. Pada hari Selasa yang lepas sekumpulan siswa dan siswi UiTM telah berarak menunjukkan protes mereka terhadap kenyataan tersebut. Jalanraya menjadi medan berkumpul, sepanduk-sepanduk protes diangkat tinggi. Warga penduduk Shah Alam secara umumnya dapat melihat perarakan protes itu.Dilaporkan seramai 3000 pelajar terlibat dalam protes tersebut.

Saya berpendapat, tidak salah untuk menunjukkan protes kita terhadap sesuatu yang sememangnya hak milik kita.Tapi dalam hal ini,tidak kena caranya.Sebagai siswa dan siswi,golongan terpelajar kita punya ruang bersuara.Hak kita perlu dipertahankan tetapi perlu kena pada tempatnya. Memang dengan protes ia dapat mengambil perhatian umum.Tetapi, kewajaran untuk memenuhi jalan raya mewakili institusi pengajian tinggi yang berprestij tidak sepatutnya berlaku.Ada cara yang lebih sesuai.Jangan biarkan emosi mengawal diri,kerana ia akan memakan diri.Dalam keadaan sekarang, setiap langkah yang diambil oleh sesuatu pertubuhan akan dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu.Jadi fikirkanlah kemungkinan atau implikasi yang akan terjadi dengan adanya protes oleh siswa dan siswi sebegini...

Bagi kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Khalid Ibrahim pula,saya rasa kenyataan ini sememangnya sangat subjektif.Berdasarkan statistik dan informasi data,UiTM melahirkan ramai graduan berkualiti.Baik dari segi akademik,ketrampilan dan sahsiah. Boleh dikatakan, graduan UiTM mempunyai kualiti yang terbaik.Bila mengambil kira tentang daya saing pelajar pula,memang tidak dinafikan UiTM tidak mempunyai pelajar bukan Bumiputera untuk bersaing.Tetapi jika kita lihat persaingan yang berlaku diantara rakan-rakan siswa itu sendiri ia sudah cukup untuk membuktikan kadar persaingan yang tinggi berlaku di UiTM kerana penuntutnya cukup ramai. Saya juga cukup pasti, jika diambil "high flyers" dikalangan siswa dan siswi UiTM kemudian bandingkan pencapaian mereka, mereka juga sama tarafnya dengan pelajar bukan bumiputera yang cemerlang.

Jadi sebagai seorang belia Melayu,saya mengambil kira semua ini.Hal ini kerana, belia yang ada akan mengambil alih negara ini pada masa depan. Setiap langkah kita sekarang,akan membentuk denai yang untuk mereka yang akan datang.Sememangnya hak keistimewaan orang Melayu perlu dipertahankan.Cuma kadang-kadang,kita sendiri alpa dengan keistimewaan itu.Nilailah sendiri,dimana kita sebenarnya..Untuk mengubah kaum atau bangsa Melayu itu adalah sangat sukar,tapi untuk mengubah diri sendiri ia mampu dilakukan.Dan jika setiap orang yang berbangsa Melayu itu berubah menjadi lebih baik,maka bangsa Melayu itu sendiri akan menjadi yang terbaik.

MALAYSIAN FOR UNITY

No comments: