approved & supported by :

Wednesday, April 27, 2011

Menunggu.

Aku rasa ramai akan setuju dengan aku. Menunggu itu memenatkan. Kita jadi tak tentu arah kerana menunggu. Hati tak tenang.Pemikiran kacau bilau.

Penat sehingga kita sendiri jadi tak betul.Kita tengok jam,kita tengok telefon bimbit kalau-kalau ada mesej masuk.Itu contoh-contoh orang menunggu.

Aku memang tak suka menunggu sesuatu yang sangat-sangat aku harapkan.

Kalau boleh biar keputusan,jawapan dan kesan itu terus jadi.Lagi mudah bukan?


Nota kaki: Teringat zaman-zaman aku menunggu bas untuk pulang ke rumah.Menunggu bas hampir dekat 2 jam setiap hari benar-benar memenatkan dan menguji kesabaran.

Tuesday, April 26, 2011

rezeki dan usaha.

Sekarang ini aku banyak melihat dan memerhati keadaan yang sangat berbeza. Ketika ini banyak persoalan-persoalan yang sering bermain dalam pemikiran aku. Seperti mendongak ke langit memerhati awan, tunduk kebawah dan terus berjalan.Ya, aku mencari penjelasan atas semua sebab yang berlaku. Memang kedengaran seperti sangat ego bukan? Aku mengaku kadangkala akal aku mungkin berfikir terlalu jauh.

Sememangnya Tuhan sudah menentukan setiap rezeki yang akan diturunkan kepada hamba Nya.Ada yang cepat,ada yang lambat. Ada yang mengharap ada yang menanti. Dan berbagai lagi keadaan yang pasti boleh terjadi. Hidupnya kita ini sudah ditentukan segalanya.Pendek kata Tuhan telah menetapkan segala yang terjadi.Rezeki,soal hidup mati,soal jodoh pertemuan, bukan kita yang tentukan.Tuhan menentukan dan manusia itu berusaha keatas itu.

Kewujudan manusia yang mahu berusaha kearah rezeki yang sudah ditentukan Tuhan itu amat aku kagumi.Aku sendiri belum sampai ketahap itu.Mahu masih cuba-cuba.Cuba mahu jadi manusia yang berusaha kearah rezeki.Rezeki yang ditentukan. Usaha saja tak akan kemana.Aku percaya dan yakin tentang ini.

Tadah tangan berdoa.Mohon pada Nya.Kuasa penyerahan (power of submission) itu sememangnya memberikan satu kekuatan yang tiada tolok bandingnya.Ia juga menjanjikan ketenangan yang amat mendamaikan jiwa. Rezeki itu ada,usaha itu perlu.Kerana semuanya telah ditentukan oleh yang Maha Esa.

Saturday, April 23, 2011

tentang buku.

Sekarang ini setiap hari aku penuh dengan pembelajaran. Bukan pembelajaran akademik di mana aku perlu skor untuk mendapatkan gred yang terbaik,tapi pembelajaran melalui pembacaan,perkongsian dan pengamatan.

Ya,meningkat usia hari demi hari memang membuatkan aku lebih peka dan sedar tentang realiti kehidupan. Mula mengenali erti hidup dan halatuju. Nasib baik ada banyak benda yang membantu. Buku-buku bacaan yang banyak memberi gambaran dan perspektif tentang itu.Kuasa internet yang tiada sempadan banyak membantu masa kini.Ya,banyak benda aku google saja di internet.Lagi mudah.Tapi sebuah buku yang wujud secara fizikal itu lebih dekat di hati aku rasa.Nilainya tiada tanding.

Ada seorang rakan ini pernah berkongsi,jika seseorang penulis atau pengarang buku itu bersusah payah memerah otak beberapa lama ( mungkin minggu,mungkin tahun) untuk mencari pengisian terbaik hasil tulisannya (buku,artikel,jurnal dan sebagainya),dan kita hanya mengambil masa beberapa hari untuk membaca bererti segala ilmu dan pengisian yang bertahun lamanya itu sudah masuk kedalam minda kita dalam masa beberapa hari saja.Hebat bukan?

Tuesday, April 12, 2011

Setelah 23

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga aku ucapkan buat semua sahabat,kenalan yang sudi memberi ucapan selamat hari lahir kepada aku tempoh hari :) setiap ucapan kalian itu aku sangat menghargainya.

Meningkat setahun lagi usia bermakna makin berat tanggungjawab aku sebagai manusia di dunia.Menoleh kembali sejenak kebelakang,memikirkan banyak perkara yang sudah aku lakukan selama 22 tahun aku hidup.Kesilapan,kesalahan,salah faham,iri hati dan persengkataan juga berlaku sepanjang itu. Namun hakikatnya aku juga manusia yang tak akan kurang daripada buat silap.

Hujung minggu lalu aku banyak menyedari di mana silapnya aku selama ini. Aku bukan mahu mengatakan yang aku ini baik sangat,cuma aku mahu cuba jadi yang lebih baik. Mungkin apa yang pernah aku buat itu tidak kena pada tempatnya dan mengguris hati pihak tertentu.aku mohon maaf kerana aku harus buat pilihan dan keputusan untuk masa depan.

Setelah 22 tahun hidup ini, ada beberapa keputusan aku kurang bijak dan menimbulkan masalah.Tidak mengapa kerana aku masih belajar untuk hidup.Sesungguhnya membuat keputusan itu adalah tindakan paling penting dalam hidup manusia.Dan kita belajar daripada pengalaman dan keputusan yang diambil.

Mencapai usia 23 aku mahu teruskan usaha untuk menjadi matang dalam berfikir.Aku berterima kasih kerana aku punya banyak mentor-mentor yang sudi berkongsi dengan aku dan membimbing aku sekarang.Walaupun berlainan bangsa dan agama, namun hasrat mereka sama untuk kebaikan.

Aku juga mahu buang segala yang keruh, ambil yang jernih. Sikap kebudak-budakan dan tidak matang dalam berfikir harus dihapuskan.Berfikir secara rasional dan terbuka, kerana itu lebih membina.

Jika aku pernah ada musuh dan pihak-pihak yang tidak senang dengan aku selama ini, aku mohon maaf.Aku mahu kurangkan persengketaan dan "musuh-musuh" jika ada. Kerana hidup ini kurang barakahnya kalau orang membenci kita dan berdendam dengan kita. Aku mahu punyai halatuju yang lebih baik dan lebih aman.

Sekali lagi,jutaan terima kasih aku ucapkan buat semua rakan-rakan :)
berubahlah untuk masa depan yang lebih baik.sekian.

Saturday, April 9, 2011

halatuju.

Memang sukar untuk ditulis apakah perasaan yang paling tepat untuk mendiskripsikan apa yang bermain dalam pemikiran.Keyakinan diri kita tidak sama dengan apa yang kita mahukan.Apa yang jiwa sebenar kita fahamkan.

Memulakan langkah untuk sesuatu yang baru adalah payah. Memecahkan klise pemikiran lapuk manusia generasi sebelum lagilah payah. Halatuju anak muda masa kini sudah berubah.Berubah menjadi lebih elok dan tidak lama lagi seperti dulu.Pemikiran kolot dan tahap lama yang menjadikan hidup seperti tiada jalan keluar daripada kemelut masalah yang pasti akan tiba.

Hala tuju aku memang lain.Memang asing.Tapi aku mahu buktikan yang aku mampu.Aku percaya aku boleh. Lantak apa yang sekeliling katakan.Aku tahu jalan aku.Aku pasti.
Tidak akan menoleh kebelakang lagi.